Matawang dolar Amerika Syarikat didagangkan di sekitar paras tertinggi dua setengah minggu pada Selasa didorong oleh hasil pulangan Amerika Syarikat yang tinggi dan juga faktor ketegangan perang dagang antara Amerika dan China meningkatkan permintaan buat USD dalam pasaran semasa.

Pasaran saham terjejas pada minggu ini terkesan oleh berita hangat berkenaan pentadbiran Donald Trump yang telah menyenarai hitam syarikat Huawei Technologies dari China dan menimbulkan kebimbangan terhadap pengguna ekoran masalah yang dihadapi oleh syarikat teknologi gergasi tersebut.

Sementara itu juga, para pelabur sedang menantikan minit mesyuarat FOMC oleh FED untuk mesyuarat dasar monetari yang terbaru.

Kenyataan Pengerusi Fed, Jerome Powell akan menjadi tumpuan pelabur. Beliau menyangkal dakwaan bahawa isu tarif mempengaruhi keputusan mesyuarat FOMC.


Matawang Euro didagangkan mendatar selepas mengalami penurunan sebelum ini ke paras terendah sejak 3 Mei berbanding USD. Dagangan Euro dijangka akan terus diniagakan berhati-hati sementara melalui proses pilihanraya parlimen Eropah pada 23 hingga 26 Mei ini.


Dolar Aussie kembali didagangkan meningkat pada minggu ini selepas kemenangan mengejut pilihanaraya oleh parti konservatif kerajaan. Kemenangan tersebut telah menyuntik kembali keyakinan pelabur dalam pasaran kewangan.

Tumpuan AUD pada sesi Asia pagi ini turut tertumpu pada minit mesyuarat dasar monetari. Maklumat lebih terperinci akan diperhalusi dan sebarang perubahan pada minit mesyuarat berkemungkinan akan mempengaruhi dagangan semasa buat Aussie.

Pound Sterling pula sedikit meningkat dari paras terendah sejak Januari pada dagangan semalam selepas Perdana Menteri Theresa May membuat tawaran terakhir untuk mendapatkan perjanjian Brexit melalu Parlimen sebelum beliau melepaskan jawatannya. Namun, pelabur merasakan keraguan terhadap sokongan parti Buruh pembangkang.